Pengenalan


Dari perspektif kelestarian, CGC menonjol kerana mandat dan model perniagaannya yang selaras dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG). Kami memainkan peranan penting dalam menyokong agenda ekonomi Malaysia dengan membantu PMKS yang mempunyai potensi daya maju, terutamanya mereka yang tidak mempunyai cagaran atau rekod prestasi yang mencukupi untuk mendapatkan pembiayaan daripada sistem kewangan formal. Kami yakin bahawa CGC akan terus memberi impak positif dengan mencipta nilai untuk mereka yang tidak atau kurang mendapat perkhidmatan, bukan sahaja melalui manfaat ekonomi, tetapi juga dengan memupuk kesejahteraan alam sekitar dan memberi impak positif terhadap kebajikan sosial.

Mengintegrasikan kelestarian akan memastikan masa depan perniagaan CGC terjamin, dengan daya tahan yang kukuh di tengah-tengah perubahan keadaan ekonomi, alam sekitar, dan sosial. Dengan menjalankan perniagaan secara bertanggungjawab dan mengintegrasikan kelestarian ke dalam operasi kami, CGC berada dalam kedudukan yang lebih baik untuk mengurus cabaran masa depan. Kami telah meletakkan asas untuk integrasi ini dengan melaksanakan inisiatif untuk menangani perkara material CGC.

Rangka Kerja Kelestarian


Rangka Kerja Kelestarian CGC dipandu oleh empat tonggak: Ekonomi, Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (EESG). Tonggak-tonggak ini menangani cabaran khusus dalam setiap bidang, memaparkan komitmen kami untuk memupuk masa hadapan yang mampan dan mesra alam dalam komuniti kami sambil membimbing amalan perniagaan yang bertanggungjawab.

Empat tonggak ini membimbing perjalanan CGC ke arah kelestarian dan menyokong PMKS dalam usaha kelestarian mereka sendiri. Dalam setiap tonggak, Bidang Fokus mengenal pasti aspek keutamaan, mengenal pasti/menentukan cita-cita syarikat. Bidang-bidang ini menggariskan langkah-langkah yang boleh diambil bagi memudahkan CGC mencapai Strategi Kelestariannya dan merealisasikan tanggungjawab alam sekitar dan sosialnya.

Pencapaian


Untuk membantu PMKS mengurangkan kesan alam sekitar mereka dan menggalakkan pertumbuhan yang mampan, kami menyokong penyelesaian yang mesra alam, kos efektif dan mudah diterima pakai. Pencapaian CGC dalam menyokong PMKS untuk menerima pakai amalan mampan dan rendah karbon dalam operasi mereka termasuk:

  • Dilantik buat kali ketiga sebagai pentadbir skim bagi Skim Pembiayaan Teknologi Hijau (GTFS 4.0) dengan saiz skim sebanyak RM1.0 bilion oleh Kementerian Kewangan.
  • Memperuntukkan RM500 juta untuk Kemudahan Peralihan Karbon Rendah (LCTF) Bank Negara Malaysia untuk PMKS.
  • Memperkenalkan Skim Jaminan Portfolio (PG ESG) berjumlah RM1 bilion dengan kerjasama 18 bank yang mengambil bahagian untuk menyokong pembiayaan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) untuk perusahaan kecil dan sederhana. Inisiatif ini juga termasuk program-program yang menggalakkan kesejahteraan sosial dan rohani.