Petaling Jaya, 18 Julai, 2014: 50 kanak-kanak yang berpakaian berwarna ungu hadir dengan penuh kegembiraan apabila menjadi tetamu khas di majlis Iftar (berbuka puasa) yang dianjurkan oleh Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad, baru-baru ini.

Kanak-kanak yang berusia antara tiga dan 12 tahun itu adalah dari Rumah Penyayang Hembusan Kasturi (RPHK) yang terletak di Klang.

Mereka tiba penuh keriangan dan disambut mesra oleh kakitangan CGC. Kemudian mereka mendengar tazkirah yang disampaikan oleh Ustaz Mohamad Rozie Mohd Rejab.

Selepas berbuka puasa, mereka mengerjakan solat maghrib secara berjemaah dan seterusnya menikmati makan malam yang cukup mewah dan terdiri daripada pelbagai masakan tempatan yang lazat.

Antara yang turut serta bersama kanak-kanak tersebut dalam majlis berbuka puasa dan majlis makan malam tersebut ialah Pengerusi Lembaga Pengarah CGC, Dato ‘Agil Natt dan isterinya Datin Sharifah Fatmah, Ketua Pegawai Eksekutif dan Presiden, Datuk Wan Azhar Wan Ahmad dan isterinya Datin Rose Edzlin, Ahli Lembaga Pengarah bersama-sama pasangan masing-masing, pihak pengurusan CGC serta kira-kira 200 kakitangan dan ahli keluarga mereka.

Datuk Wan Azhar Wan Ahmad berkata ia merupakan tradisi tahunan CGC untuk menyemarakkan semangat Ramadan iaitu berkongsi dan memberi kepada mereka yang kurang bernasib baik dalam masyarakat.

“Majlis Berbuka Puasa tahunan ini adalah amat bermakna bagi kami untuk bersama-sama dengan mereka yang kurang bernasib baik. Ia memberikan kesedaran kepada kita untuk membantu mereka yang kurang bernasib baik. Kami berharap, sumbangan kami ini akan membantu meringankan beban mereka, ” katanya selepas menyampaikan duit raya kepada anak-anak RPHK bersama-sama dengan Dato ‘Agil Natt.

Majlis Berbuka Puasa ini adalah acara tahunan yang diadakan untuk menunjukkan keprihatinan dan sokongan bagi kanak-kanak yang kurang bernasib baik, serta menggalakkan perpaduan dan memupuk semangat tanggungjawab sosial korporat CGC.

Selain menjadi tuan rumah bagi majlis makan malam, CGC juga memberikan sumbangan tunai sebanyak RM8,000 kepada Rumah Penyayang Hembusan Kasturi (RPHK) dan 50 orang kanak-kanak yang kurang bernasib baik. Sumbangan ikhlas tersebut adalah daripada CGC dan kakitangannya. Cek tersebut telah disampaikan oleh Dato’ Agil Natt kepada pengasas bersama RPHK, Haji Zubir Haji Omar yang disaksikan oleh Datuk Wan Azhar.

Datuk Wan Azhar berkata sumbangan tersebut melambangkan usaha CGC untuk menyokong badan amal yang layak dan memerlukan bantuan.

“Kami berharap agar dapat menjadikan Hari Raya yang akan datang adalah lebih bermakna bagi mereka,” tambah Datuk Wan Azhar.

MENGENAI CGC

Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGC) telah ditubuhkan pada 5 Julai 1972. Pemegang saham semasa adalah Bank Negara Malaysia (pemegang saham utama) dan bank-bank komersial. Fokus perniagaan teras CGC adalah untuk membantu PKS, terutamanya mereka yang tanpa atau kekurangaan cagaran dan tidak mempunyai rekod prestasi untuk mendapatkan kemudahan kredit daripada institusi kewangan dengan memberikan perlindungan jaminan ke atas pembiayaan tersebut. Sejak penubuhannya, CGC telah secara kumulatif menjamin lebih daripada 420,000 pinjaman bernilai hampir RM53.9 bilion.

Kini, rancangan CGC untuk mencapai agenda pengukuhan kewangannya berjalan dengan lancar seperti yang termaktub dalam pelan transformasi bisnesnya. Sejak tiga (3) tahun kebelakangan ini, CGC telah mencatatkan kenaikan dalam keuntungan bersihnya dari RM15.6 juta pada 2010 kepada RM121.1 juta pada tahun 2013.

CGC, atau lebih dikenali sebagai ‘firma kredit bagi usahawan kecil’ pada awal penubuhannya lebih menumpukan usaha dalam membantu usahawan kecil dalam bidang pertanian, komersil dan sektor industri. Seiring dengan perkembangan ekonomi Malaysia, pemintaan bagi servis jaminan CGC juga turut berkembang. Produk dan servisnya juga telah diperluaskan bagi memenuhi keperluan kemudahan kredit yang lebih besar daripada PKS berskala sederhana.

Sokongan CGC kepada PKS tidak hanya bertumpu kepada jaminan pinjaman dan kemudahan pembiayaan, tetapi juga perkhidmatan informasi kredit dan penarafan kredit melalui anak syarikatnya Biro Kredit Malaysia. Melalui Biro, CGC membantu PKS bagi mewujudkan sejarah dan rekod prestasi kredit bagi meningkatkan kredibiliti dan ‘bankabiliti’ mereka untuk mendapatkan pembiayaan secara merit dan pada kos yang berpatutan.

Pembiayaan lain yang diuruskan oleh CGC termasuk Skim Pembiayaan Teknologi Hijau (SPTH) dan Tabung Projek Usahawan Bumiputera (TPUB-i) dengan peruntukan masing-masing berjumlah RM3.5 bilion dan RM300 juta. Setakat ini, CGC telah menguruskan sebanyak 42 skim jaminan termasuk 16 skim pembiayaan kerajaan.

Kini, 15 bank Islam, 17 bank komersil dan tujuh (7) institusi pembangunan kewangan telah turut serta dalam skim jaminan kredit CGC yang membolehkan pelanggan mendapat akses kepada pembiayaan melalui lebih daripada 2,000 cawangan mereka diseluruh negara.

PKS yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai CGC boleh menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan kami di 03-7880-0088 atau layari laman sesawang di www.cgc.com.my.

Untuk pertanyaan media:

V. Kumaran
Assistant Vice President (AVP), Corporate Communications
Tel: 03-7806 2300 ext 232
HP: 016-638 1747
Email: [email protected]