KUALA LUMPUR, 23 Jun, 2014: Mekanisme rebat yang diperkenalkan Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGC) sebagai sebahagian daripada inisiatif untuk membantu pelanggan dengan kos pinjaman serta untuk mewujudkan kesedaran tentang kepentingan sejarah kredit di kalangan PKS telah menerima sambutan yang menggalakkan daripada pelanggannya.

Diperkenalkan pada bulan Januari 2014 untuk membantu PKS mengurangkan kos pembiayaan, sebanyak 249 pelanggan CGC telah mendapat manfaat daripada insentif ini dan sebahagiannya mendapat rebat setinggi 38% daripada yuran jaminan yang perlu dibayar.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif CGC, Datuk Wan Azhar Wan Ahmad berkata semua pelanggan yang telah mengekalkan rekod pembayaran balik yang baik telah dihargai oleh CGC dengan pemberian rebat yuran jaminan.

Rebat CGC adalah mekanisme di mana pengurangan peratusan tertentu atas yuran jaminan ditawarkan kepada pelanggan yang mempunyai rekod kredit yang baik. Untuk memenuhi tujuan ini, CGC telah memperuntukkan RM1.7 juta yang dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 1,800 pelanggan yang dihargai tahun ini.

“Sangat menggalakkan untuk melihat PKS mengamalkan budaya kredit yang sihat. Dengan cara ini, kami berharap untuk memupuk kesedaran dan amalan kredit yang baik serta membuat pembayaran balik pinjaman dengan kadar segera di kalangan mereka. Bagi PKS, ini menunjukkan bahawa mereka berdisiplin dan sememangnya berkesedaran untuk memperbaiki rekod kredit dan bankabiliti mereka.”

“Kami gembira untuk mengumumkan bahawa setakat ini, kami telah menerima sambutan yang menggalakkan daripada pelanggan serta pihak-pihak yang berkepentingan kepada CGC. Kami akan terus menyediakan insentif ini kepada semua pelanggan kami yang layak untuk menikmati rebat yuran jaminan,” katanya di Majlis Penghargaan dan Makan Tengah Hari bersama Pelanggan yang terpilih CGC di Lanai Kijang, Bank Negara Malaysia.

Datuk Wan Azhar berkata mekanisme rebat itu diberikan di bawah empat skim utamanya iaitu Skim Jaminan Laluan Terus (SJLT)/SJLT-i, Enhancer / Enhancer-i, Enhancer Bumi / Enhancer Bumi-i dan Enhancer Terus / Enhancer Excel.

Ini merupakan langkah proaktif yang telah diambil di bawah agenda perniagaan 2014 CGC disebabkan kenaikkan keseluruhan kos menjalankan perniagaan bagi PKS baru-baru ini .

“Bagi tahun 2014, rancangan perniagaan CGC telah digubal untuk mencapai beberapa objektif yang strategik, iaitu untuk melaksanakan peranan pembangunan dengan kewangan yang mampan serta untuk meningkatkan akses kepada pembiayaan untuk perniagaan yang baru memulakan perniagaan. CGC juga bertanggungjawab untuk terus menguruskan skim yang dibiayai oleh Kerajaan, menyokong agenda pembangunan Bumiputera negara dan menawarkan pembiayaan pada kos yang munasabah. Selain daripada ini, CGC akan meningkatkan kecekapan operasi dan hubungan dengan institusi kewangan,” kata Datuk Wan Azhar.

Beliau berkata dengan pertumbuhan ekonomi yang stabil dan perkembangan yang menggalakkan dalam sektor PKS, CGC akan merebut peluang ini untuk mengembangkan lagi agenda jangkauan PKSnya dan menjalinkan hubungan yang baik bersama institusi kewangan untuk memastikan kekangan dan kebimbangan sektor PKS telah diatasi dengan sewajarnya.

“CGC perlu terus meningkatkan jangkauan PKS bagi membolehkan PKS yang berdaya maju dalam semua segmen mendapat akses kepada pembiayaan dari institusi kewangan,” katanya sambil menambah langkah itu ialah untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai rakan kongsi yang strategik dalam pembiayaan PKS.

Datuk Wan Azhar berkata dalam beberapa tahun kebelakangan ini, CGC telah berjaya mengadakan perkongsian strategik dengan beberapa bank bagi memudahkan pilihan pembiayaan dan akses yang lebih cepat kepada dana untuk PKS melalui skim Jaminan Portfolio (PG) dan Jaminan Borong (WG). Perkongsian seumpama ini akan terus diterokai dengan institusi-instutusi kewangan lain yang kini mengambil bahagian dalam skim jaminan CGC.

Secara keseluruhan, sasaran CGC untuk menyediakan RM2.7 bilion kepada 5,600 PKS pada tahun 2014.

Datuk Wan Azhar menambah CGC juga aktif bekerja dengan syarikat subsidiarinya, Credit Bureau Malaysia, bagi membantu PKS membina sejarah kredit dan rekod yang baik untuk meningkatkan lagi kredibiliti dan bankabiliti mereka untuk membolehkan mereka untuk berunding dengan pemberi kredit berdasarkan merit mereka sendiri dan mendapatkan jumlah pembiayaan yang diperlukan dengan kos yang munasabah.

Majlis Makan Tengah Hari bersama Pelanggan ini telah dihadiri oleh Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia, Dato ‘Muhammad bin Ibrahim, Pengerusi CGC, Dato’ Agil Natt, Lembaga pengarah CGC, wakil-wakil utama daripada institusi kewangan asing dan tempatan dan wakil-wakil dan ahli-ahli dari Dewan Perdagangan.

Para pelanggan terpilih CGC dan PKS menghadiri klinik usahawan yang dianjurkan oleh CGC sempena dengan majlis makan tengah hari ini. Sesi itu menyaksikan pertukaran idea dan dialog mengenai pembiayaan yang berkaitan bagi pembangunan sektor PKS di negara ini.

MENGENAI CGC

Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGC) telah ditubuhkan pada 5 Julai 1972. Pemegang saham semasa adalah Bank Negara Malaysia (pemegang saham utama) dan bank-bank komersial. Fokus perniagaan teras CGC adalah untuk membantu PKS, terutamanya mereka yang tanpa atau kekurangaan cagaran dan tidak mempunyai rekod prestasi untuk mendapatkan kemudahan kredit daripada institusi kewangan dengan memberikan perlindungan jaminan ke atas pembiayaan tersebut. Sejak penubuhannya, CGC telah secara kumulatif menjamin lebih daripada 420,000 pinjaman bernilai hampir RM52 bilion.

Kini, rancangan CGC untuk mencapai agenda pengukuhan kewangannya berjalan dengan lancar seperti yang termaktub dalam pelan transformasi bisnesnya. Sejak tiga (3) tahun kebelakangan ini, CGC telah mencatatkan kenaikan dalam keuntungan bersihnya dari RM15.6 juta pada 2010 kepada RM160.8 juta pada tahun 2012.

CGC, atau lebih dikenali sebagai ‘firma kredit bagi usahawan kecil’ pada awal penubuhannya lebih menumpukan usaha dalam membantu usahawan kecil dalam bidang pertanian, komersil dan sektor industri. Seiring dengan perkembangan ekonomi Malaysia, pemintaan bagi servis jaminan CGC juga turut berkembang. Produk dan servisnya juga telah diperluaskan bagi memenuhi keperluan kemudahan kredit yang lebih besar daripada PKS berskala sederhana.

Sokongan CGC kepada PKS tidak hanya bertumpu kepada jaminan pinjaman dan kemudahan pembiayaan, tetapi juga perkhidmatan informasi kredit dan penarafan kredit melalui anak syarikatnya Biro Kredit Malaysia. Melalui Biro, CGC membantu PKS bagi mewujudkan sejarah dan rekod prestasi kredit bagi meningkatkan kredibiliti dan ‘bankabiliti’ mereka untuk mendapatkan pembiayaan secara merit dan pada kos yang berpatutan.

Pembiayaan lain yang diuruskan oleh CGC termasuk Skim Pembiayaan Teknologi Hijau (SPTH) dan Tabung Projek Usahawan Bumiputera (TPUB-i) dengan peruntukan masing-masing berjumlah RM3.5 bilion dan RM300 juta. Setakat ini, CGC telah menguruskan sebanyak 42 skim jaminan termasuk 16 skim pembiayaan kerajaan.

Kini, 15 bank Islam, 17 bank komersil dan tujuh (7) institusi pembangunan kewangan telah turut serta dalam skim jaminan kredit CGC yang membolehkan pelanggan mendapat akses kepada pembiayaan melalui lebih daripada 2,000 cawangan mereka diseluruh negara.

PKS yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai CGC boleh menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan kami di 03-7880-0088 atau layari laman sesawang di www.cgc.com.my.

Untuk pertanyaan media:

V. Kumaran
Assistant Vice President (AVP), Corporate Communications
Tel: 03-7806 2300 ext 232
HP: 016-638 1747
Email: [email protected]