Kuala Lumpur, 26 Februari – Sebagai sebahagian daripada inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR), Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGC) telah melancarkan Program Latihan Graduan (GTP) untuk membuka peluang kepada graduan yang menganggur bagi menimba pengalaman serta latihan kemahiran kerja.
GTP telah direka khusus untuk menyediakan pembelajaran berterusan bagi para graduan dengan spektrum jualan dan kemahiran pemasaran yang luas dalam memenuhi matlamat perniagaan CGC pada masa akan datang dan juga untuk memudahkan peralihan para graduan daripada persekitaran akademik kepada industri perkhidmatan kewangan.
Antara kelayakan yang diperlukan untuk diserap masuk ke dalam program ini ialah calon-calon mestilah graduan yang menganggur pada masa permohonan dan tanpa pengalaman bekerja. Calon-calon juga mesti memegang Ijazah Sarjana Muda dalam mana-mana disiplin dengan skor CGPA minimum 3.0 daripada institusi pengajian tinggi yang diiktiraf. Satu lagi kriteria yang perlu dipenuhi adalah ahli keluarga para graduan mesti berlatar belakangkan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS). Berdasarkan lebih 600 permohonan yang diterima, hanya 10 graduan telah dipilih untuk menyertai program ini.
Bercakap kepada media selepas majlis pelancaran itu, Timbalan Menteri Kewangan II, YB Datuk Johari Abdul Ghani memuji usaha CGC dalam menyediakan latihan praktikal dan kemahiran kerja untuk graduan yang menganggur. Beliau berkata inisiatif yang bermakna seperti ini harus dicontohi oleh lebih banyak syarikat di negara ini.
“Sejajar dengan Rancangan Malaysia ke-11, terdapat enam (6) teras strategik untuk dicapai dalam tempoh lima (5) tahun yang akan datang. Salah satu teras tersebut adalah untuk mempercepatkan pembangunan modal insan bagi mencapai status negara maju. Oleh itu, kita memerlukan tenaga kerja profesional yang berkemahiran tinggi serta berpengetahuan luas dalam memastikan Malaysia terus kekal sebagai negara yang berdaya saing di peringkat global,” kata Datuk Johari Abdul Ghani.
“Program Latihan Graduan merupakan satu inisiatif yang dilaksanakan oleh CGC bagi melengkapkan usaha kerajaan untuk menyediakan latihan serta peluang pekerjaan kepada graduan yang menganggur,” kata Presiden / Ketua Pegawai Eksekutif CGC, Mohd Zamree Mohd Ishak.
“Melalui program ini, CGC akan menawarkan para graduan dengan pengalaman bekerja yang amat berguna, terutamanya dalam bidang jualan dan pemasaran. Saya berharap para graduan mengambil peluang ini sebagai satu pengalaman yang amat berharga dengan menimba sebanyak kemahiran yang boleh untuk melengkapkan diri mereka bagi peluang kerjaya yang cerah di masa hadapan,” tambah Zamree.
Modul GTP terdiri daripada dua fasa. Pada bulan pertama, para pelatih akan dibimbing untuk membina pemahaman mereka berdasarkan pengetahuan asas perniagaan, pasaran dan produk CGC. Seterusnya, para pelatih juga akan dibantu oleh mentor dari cawangan CGC yang ditugaskan untuk memberi latihan kepada mereka mengenai aktiviti jualan dan pemasaran. Secara tidak langsung, para pelatih akan didedahkan kepada latihan kemahiran insaniah seperti komunikasi dan perkhidmatan pelanggan.
Majlis pelancaran GTP telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Kewangan II, YB Datuk Johari Abdul Ghani. Turut hadir di majlis tersebut ialah Pengerusi CGC, Dato ‘Agil Natt, Ahli Lembaga Pengarah CGC, dan Presiden / Ketua Pegawai Eksekutif CGC, En. Mohd Zamree Mohd Ishak serta pegawai dari Bank Negara Malaysia.