Dari kiri:  Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif CGC, Datuk Azhar Wan Ahmad dan Pengarah Urusan Kumpulan SME Bank, Datuk Mohd Radzif Mohd Yunus selepas acara memeterai kolaborasi perjanjian PG baru-baru ini.

Dari kiri: Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif CGC, Datuk Azhar Wan Ahmad dan Pengarah Urusan Kumpulan SME Bank, Datuk Mohd Radzif Mohd Yunus selepas acara memeterai kolaborasi perjanjian PG baru-baru ini.

Kuala Lumpur, 15 September – SME Bank hari ini menandatangani Perjanjian Jaminan Portfolio (PG) dengan Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGC) untuk menawarkan kemudahan pembiayaan bernilai RM30 juta kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang berdaya maju.

Kemudahan jaminan ini merupakan kali pertama dilaksanakan oleh CGC dengan sebuah institusi kewangan pembangunan di negara ini yang direka khas untuk memudahkan usahawan PKS kerana ia menawarkan kos pembiayaan yang rendah dan jangkamasa pusingan balik yang lebih cepat dari segi kelulusan dan pengeluaran pembiayaan.

Portfolio bernilai RM30 juta ini dijangka akan memberi manfaat kepada hampir 200 usahawan PKS dalam tempoh setahun melalui kemudahan pembiayaan bernilai antara RM100,000.00 hingga RM500,000.00. Tujuan pembiayaan ini adalah untuk menyediakan kemudahan modal kerja yang diperlukan untuk menguruskan aliran kewangan serta memajukan lagi perniagaan sedia ada pada kadar tetap di antara 5% – 7% setahun.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif CGC, Datuk Wan Azhar Wan Ahmad berkata PG yang telah dilancarkan pada tahun 2009 dan telah mendapat pengiktirafan ini telah terbukti berjaya membantu memenuhi keperluan pembiayaan serta meningkatkan jumlah jangkauan PKS.

“Di bawah kelulusan PG untuk pembiayaan, kriteria kelayakan telah dipersetujui terlebih dahulu.  Ini menjadikannya lebih mudah untuk menguruskan kualiti aset portfolio tersebut. Berdasarkan persetujuan awal ini, ia membolehkan peminjam mendapat kos pembiayaan yang lebih rendah kerana PG mempunyai kos transaksi yang lebih rendah. “

“Dengan adanya kemudahan PG ini, proses kelulusan dan pembiayaan untuk usahawan PKS akan menjadi lebih pantas. PG yang ditawarkan oleh CGC mempunyai sistem yang menyediakan kelulusan dalam masa tiga (3) hari bekerja bagi mempercepatkan proses kelulusan dan pengeluaran yang dilaksanakan oleh bank. Pihak CGC sedang berusaha untuk memendekkan lagi tempoh pemprosesan kepada satu (1) hari bekerja.” katanya lagi, buat masa sekarang, kadar kelulusan pembiayaan di bawah PG adalah hampir 100%.

Pengarah Urusan Kumpulan SME Bank, Datuk Mohd Radzif Mohd Yunus berkata kerjasama ini akan memudahkan usahawan PKS untuk mendapat akses kepada kredit dengan membantu mereka mengukuhkan keupayaan kredit dan rekod prestasi perniagaan yang baik serta membantu pelanggan baharu untuk memperoleh bantuan kewangan  yang diperlukan untuk mengembangkan lagi perniagaan mereka.

“Kolaborasi bersama CGC juga akan membantu SME Bank meningkatkan pengurusan risiko kreditnya melalui perkongsian risiko dan memberi pandangan menyeluruh terhadap kesediaan bakal pelanggan dalam membayar balik pinjaman” katanya.

Perjanjian PG ini memperkukuhkan lagi komitmen dan kerjasama kedua-dua pihak dalam menyokong ke arah pembangunan PKS di negara ini bukan sahaja dari segi meningkatkan akses pembiayaan tetapi juga dari segi kos pembiayaan.

Sehingga kini, CGC telah meluluskan pembiayaan bernilai hampir RM1.5 bilion kepada lebih 4,000 usahawan PKS.  CGC mensasarkan untuk mendapatkan jaminan yang baru sekurang-kurangnya bernilai RM700 juta di bawah perjanjian PG pada tahun 2014.

SME Bank merupakan institusi kewangan kelapan memeterai perjanjian PG selepas Maybank, Standard Chartered Bank, OCBC, RHB, Public Bank Berhad, Alliance Bank dan SC Saadiq.

 

Mengenai CGC

Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGC) telah ditubuhkan pada 5 Julai 1972. Pemegang saham semasa adalah Bank Negara Malaysia (pemegang saham utama) dan bank-bank komersial. Fokus perniagaan teras CGC adalah untuk membantu PKS, terutamanya mereka yang tanpa atau kekurangaan cagaran dan tidak mempunyai rekod prestasi untuk mendapatkan kemudahan kredit daripada institusi kewangan dengan memberikan perlindungan jaminan ke atas pembiayaan tersebut. Sejak penubuhannya, CGC telah secara kumulatif menjamin lebih daripada 420,000 pinjaman bernilai hampir RM52.9 bilion.

Kini, rancangan CGC untuk mencapai agenda pengukuhan kewangannya berjalan dengan lancar seperti yang termaktub dalam pelan transformasi bisnesnya. Sejak empat tahun kebelakangan ini, CGC telah mencatatkan kenaikan dalam keuntungan bersihnya dari RM15.6 juta pada 2010 kepada RM121.1 juta pada tahun 2013.

CGC, atau lebih dikenali sebagai ‘firma kredit bagi usahawan kecil’ pada awal penubuhannya lebih menumpukan usaha dalam membantu usahawan kecil dalam bidang pertanian, komersil dan sektor industri. Seiring dengan perkembangan ekonomi Malaysia, pemintaan bagi servis jaminan CGC juga turut berkembang. Produk dan servisnya juga telah diperluaskan bagi memenuhi keperluan kemudahan kredit yang lebih besar daripada PKS berskala sederhana.

Sokongan CGC kepada PKS tidak hanya bertumpu kepada jaminan pinjaman dan kemudahan pembiayaan, tetapi juga perkhidmatan informasi kredit dan penarafan kredit melalui anak syarikatnya Biro Kredit Malaysia. Melalui Biro, CGC membantu PKS bagi mewujudkan sejarah dan rekod prestasi kredit bagi meningkatkan kredibiliti dan ‘bankabiliti’ mereka untuk mendapatkan pembiayaan secara merit dan pada kos yang berpatutan.

Pembiayaan lain yang diuruskan oleh CGC termasuk Skim Pembiayaan Teknologi Hijau (SPTH) dan Tabung Projek Usahawan Bumiputera (TPUB-i) dengan peruntukan masing-masing berjumlah RM3.5 bilion dan RM300 juta. Setakat ini, CGC telah menguruskan sebanyak 43 skim jaminan termasuk 16 skim pembiayaan kerajaan.

Kini, 15 bank Islam, 17 bank komersil dan tujuh (7) institusi pembangunan kewangan telah turut serta dalam skim jaminan kredit CGC yang membolehkan pelanggan mendapat akses kepada pembiayaan melalui lebih daripada 2,000 cawangan mereka diseluruh negara.

 PKS yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai CGC boleh menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan kami di 03-7880-0088 atau layari laman sesawang di www.cgc.com.my.

 Mengenai SME Bank

SME Bank memulakan operasinya pada 3 Oktober 2005 sebagai sebuah institusi kewangan pembangunan (DFI). Ianya diberi mandat khusus oleh Kerajaan untuk membimbing dan membangunkan usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS). Sebagai sebuah bank yang diwujudkan untuk memenuhi keperluan pembiayaan dan pertumbuhan perniagaan PKS Malaysia, SME Bank menjadi pelengkap kepada pelbagai produk dan perkhidmatan sedia ada yang ditawarkan oleh bank-bank perdagangan. Peranan utamanya adalah untuk menyumbang secara aktif terhadap pertumbuhan komuniti usahawan yang lebih cergas di Malaysia. Untuk maklumat lanjut, sila layari:  www.smebank.com.my.

 Nota untuk Pengarang:

Small Medium Enterprise Development Bank Malaysia Berhad adalah nama berdaftar bagi SME Bank. Bank ini hendaklah dirujuk sebagai SME Bank, tidak mengira bahasa perantara yang digunakan.