Jalur Gemilang Gergasi Tanda Penghormatan CGC kepada Negara
KELANA JAYA, 23 Ogos – Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGC) dengan bangganya telah mengibarkan Jalur Gemilang gergasi untuk tahun ke-empat (4) berturut-turut sebagai tanda patriotisme, cinta dan penghormatan terhadap tanahair Malaysia.
Berukuran 91 kaki x 36 kaki, simbol kedaulatan negara ini boleh dilihat oleh para pengguna jalan raya apabila mereka memandu melewati bangunan ibupejabat 16 tingkat CGC di Pusat Perniagaan Kelana. Ia juga dapat dilihat oleh pengguna LRT dari Subang Jaya ke Kuala Lumpur. Dikibarkan pada 4 Ogos lalu, Jalur Gemilang ini akan menghiasi bangunan CGC sehingga akhir bulan September.
Di samping itu, CGC turut mengibarkan bendera 14 buah negeri di Malaysia, mencerminkan perpaduan rakyat Malaysia sebagai sebuah negara.
“Sepanjang sambutan bulan kemerdekaan sehingga Hari Malaysia, rakyat meraikan kemajuan negara serta memperaharui ikrar untuk kekal bersatupadu. Penting untuk kita terus mendidik generasi muda agar mereka akan sentiasa menghargai perpaduan dan kebebasan yang dinikmati pada hari ini. Sebagai masyarakat yang berbilang kaum dan bangsa, kepelbagaian ini adalah kekuatan kita. Kita harus saling menghormati, eratkan hubungan silaturahim dan perpaduan sesama kita,” kata Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Mohd Zamree Mohd Ishak.
Kebanggaan CGC dalam mempamerkan Jalur Gemilang dapat dilihat dengan jelas apabila kakitangan dari pelbagai jabatan bekerjasama untuk memasang bendera kebangsaan. Kakitangan CGC juga telah menghasilkan sebuah video pemasangan Jalur Gemilang yang boleh diakses melalui rangkaian media social CGC dan You Tube (https://youtu.be/rZb3rLpQ760).
“Sejajar dengan tema sambutan Hari Merdeka yang ke-61 iaitu Sayangi Malaysiaku, pengibaran Jalur Gemilang adalah salah satu cara CGC menunjukkan rasa kesyukurannya kepada negara. CGC mempunyai lebih 500 kakitangan dari latar belakang, bangsa, agama dan budaya yang berbeza. Sebagai rakyat Malaysia, kami bersatu dan bangga dengan pencapaian negara,” kata Zamree.
Sambutan Hari Merdeka tahun ini lebih istimewa dan bermakna untuk CGC. Buat julung kalinya dalam 46 tahun penubuhan, CGC akan menaja satu kejohanan ragbi pada ambang 31 Ogos. Kejohanan ini adalah kerjasama di antara CGC, Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) dan Home of Warriors Rugby Club (HOW). Kejohanan ragbi ini adalah untuk pemain veteran dari 10 alumni dan akan berlangsung di Padang Bola Sepak D, Kolej 14, Universiti Putra Malaysia, Serdang. Kejohanan ragbi ini akan diakhiri dengan pertunjukan bunga api pada pukul 12 malam.
– tamat –