KUALA LUMPUR, 3 Disember – Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGC) dan Business Development Fund (BDF) Rwanda telah memeterai Memorandum Persefahaman (MOU) bagi menjalinkan kerjasama dalam pembangunan rangka kerja jaminan kredit untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di Rwanda.
Dengan termeterainya memorandum persefahaman ini , CGC akan menawarkan bantuan dan bimbingan kepada BDF dalam membangunkan reka bentuk dan mengkaji semula rangka kerja jaminan kredit untuk menyokong pembangunan PKS di Rwanda. CGC juga akan menyediakan bantuan dari segi teknikal dalam pembangunan skim jaminan kredit, garis panduan dasar serta perkara-perkara lain berhubung dengan operasi.
Presiden / Ketua Pegawai Eksekutif CGC, Mohd Zamree Mohd Ishak berkata kerjasama yang dijalinkan antara CGC dan BDF akan membolehkan CGC berkongsi pengalaman dan kepakarannya selama 43 tahun dalam pembiayaan PKS dan pembangunan PKS di negara ini.
Menurut Zamree, kerjasama ini juga akan membolehkan CGC untuk berkongsi pengetahuan dan pengalaman bersama BDF melalui latihan, penyelidikan, penerbitan dan lawatan kerja.
CGC telah menganjurkan beberapa lawatan kerja bagi institusi kewangan pembangunan dari Asia, Timur Tengah dan Afrika. Pada tahun 2015, CGC menjadi tuan rumah bagi lawatan sambil belajar daripada Alliance for Financial Inclusion (AFI) yang mempunyai 41 perwakilan dari 33 buah negara dan juga menjadi tuan rumah bagi delegasi dari Bangladesh, Mesir, Jepun dan Korea.
“Kebanyakan negara membangun yang tidak mempunyai institusi jaminan kredit menjadikan CGC sebagai contoh berdasarkan kejayaan yang dicapai CGC dalam memperkenalkan mekanisme jaminan di negara masing-masing”, kata Zamree. “Ini bukan sahaja memberi pengiktirafan kepada CGC, malah kepada Malaysia berdasarkan keupayaan dalam menerajui pembangunan PKS di negara ini”.
CGC bukan sahaja menerajui pembangunan PKS di Malaysia malah di peringkat antarabangsa, membantu negara-negara seperti Papua New Guinea, Mongolia, Timor-Leste dan negara-negara lain di Timur Tengah dan Afrika. Pada tahun 2013, CGC telah menandatangani MOU bersama Papua New Guinea dan Mongolia untuk membantu menubuhkan institusi jaminan kredit dalam meningkatkan pembiayaan PKS di negara masing-masing. Pada bulan Mei 2015, CGC telah menandatangani MOU bersama Banco Central de Timor-Leste (BCTL) untuk tujuan yang sama.
“Rwanda dan Malaysia berkongsi hubungan persahabatan yang amat rapat. Pada hari ini, kita telah mengorak satu lagi langkah untuk mengukuhkan lagi hubungan ini. Perjanjian persefahaman ini menandakan satu kejayaan dalam memeterai kerjasama bukan sahaja di antara BDF dan CGC, tetapi juga diantara negara kami”, kata Ketua Pegawai Eksekutif BDF Rwanda, Innocent Bulindi.
Baru-baru ini, Kerajaan Rwanda telah memperkuatkan mandat yang diberikan kepada BDF untuk menyokong PKS. Dalam hal ini, BDF sedang menjalani transformasi untuk mengukuhkan kapasitinya terutama dalam membangunkan kemahiran dan kepakaran dalam menjana mandat yang diberikan”, tambah Innocent.
“Ia merupakan satu penghormatan kepada BDF diatas peluang yang diberikan untuk menempa pengalaman, strategi serta kejayaan yang telah dicapai oleh sebuah institusi yang berkaliber tinggi seperti CGC”, tambah Innocent.
Memorandum persefahaman ditandatangani oleh Presiden / Ketua Pegawai Eksekutif CGC, Mohd Zamree Mohd Ishak bersama Ketua Pegawai Eksekutif BDF Rwanda, Innocent Bulindi sambil disaksikan oleh Pengerusi CGC, Dato’ Agil Natt. Majlis tersebut diadakan di Hotel Saujana, Kuala Lumpur.
Sebelum majlis menandatangani memorandum persefahaman, sesi perkongsian ilmu telah dijalankan selama dua hari yang merangkumi prinsip risiko, kewanganserta prinsip-prinsip pengurusan aset yang amat dihargai oleh delegasi BDF.
Sejak ditubuhkan pada tahun 1972, CGC telah meluluskan lebih 430,000 pembiayaan kepada PKS bernilai lebih RM56 bilion yang memberi manfaat kepada kira-kira 315,000 PKS.