KOTA KINABALU, 12 SEPTEMBER 2015: Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGC) menyumbangkan RM12,000 kepada Yayasan Kebajikan Suria (YKS) sebagai sebahagian daripada program Tanggungjawab Sosial Korporatnya (CSR) yang dianjurkan bersempena dengan Sambutan Hari Malaysia. Inisiatif ini merupakan program CSR yang kedua di Sabah selepas sumbangan RM 100,000 yang diberikan kepada Tabung Bantuan Bencana Ranau dibawah Kerajaan Negeri Sabah pada bulan lepas.

Cek telah disampaikan oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif CGC, Encik Mohd Zamree Mohd Ishak kepada Guru Besar Sekolah Agama Yayasan Kebajikan Suria, Tuan Haji Awang Raplah Bin Salil. Turut hadir pada majlis ini ialah Naib Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Sabah Encik Mohd Zulfikar Datuk Haji Ahmad, dan ahli-ahli DPMM serta warga kerja CGC cawangan Kota Kinabalu.

“Kami amat berbesar hati kerana berpeluang untuk memberi sokongan dan bantuan kepada warga yang kurang bernasib baik, terutamanya dalam menyokong pembangunan dan kesejahteraan kanak-kanak di Yayasan Kebajikan Suria,” kata Zamree.

Pusat ini menerima dana daripada Jabatan Hal Ehwal Am Sabah pada setiap tahun bagi menyokong aktiviti dan operasi harian mereka. YKS dilengkapi dengan kemudahan seperti blok asrama untuk menampung kanak-kanak, sebuah masjid dan perpustakaan mini untuk kemudahan 50 kanak-kanak yang berumur antara 7 hingga 17 tahun, yang menetap di pusat tersebut.

“Kami amat bersyukur diatas bantuan yang diberikan oleh CGC dalam menyokong pertubuhan kami. Kebanyakan anak-anak yang tinggal di YKS adalah anak-anak yatim dan kanak-kanak daripada keluarga miskin di seluruh Sabah. Kami ingin memberikan yang terbaik kepada anak-anak di sini dalam usaha mendidik mereka menjadi seorang individu yang mempunyai masa depan yang cerah. Kami percaya bahawa ini merupakan yang terbaik yang boleh kami lakukan selain memberi mereka penjagaan dan sokongan yang berterusan. Kami berharap lebih banyak syarikat akan mencontohi CGC dalam menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan,” kata Awang Raplah.

Wakil CGC beserta tetamu dan peserta lain juga dibawa melawat di sekitar penempatan warga YKS untuk melihat sendiri kemudahan yang terdapat di YKS, diikuti dengan taklimat ringkas bertajuk “Manfaat melalui Penghematan dalam Perbelanjaan” khas kepada pelajar-pelajar di YKS yang telah dikendalikan oleh Timbalan Ketua Cawangan CGC di Kota Kinabalu, Pn. Agnes Vivvy Toisin.

Usaha penglibatan CGC bersama masyarakat melalui program CSR telah dijalankan di seluruh negara dalam usaha membantu meringankan beban yang dipikul oleh warga yang kurang bernasib baik. Pada awal tahun ini, CGC telah menghulurkan bantuan dan sokongan sukarelawan kearah usaha-usaha bantuan banjir di negeri Kelantan. Selain itu, CGC juga komited dalam memberi sokongan kepada warga masyarakat yang kurang bernasib baik semasa musim perayaan seperti Tahun Baru Cina, Hari Raya Aidilfitri dan Perayaan Deepavali. Inisiatif CSR terbaru yang telah dijalankan oleh pihak CGC merupakan bantuan kepada warga Bengkel Seri Sarawak di Kota Samarahan.

“Kami berharap untuk terus membantu masyarakat yang kurang bernasib baik di Malaysia melalui program-program CSR kami yang akan datang,” tambah Zamree.

Sebagai sebuah institusi kewangan yang bertujuan untuk menggalakkan pertumbuhan dan pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), CGC berharap untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai pilihan utama dalam menyediakan akses kepada pembiayaan bagi PKS di negara ini. Sejak penubuhan CGC pada tahun 1972, CGC telah membantu lebih dari 430,000 PKS dan telah mengeluarkan jaminan lebih dari RM56 billion.