KUCHING, 8 SEPTEMBER 2015: Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGC) menghulurkan bantuan sebanyak RM12,000 kepada Bengkel Seri Sarawak sebagai salah satu inisiatif terbaru program ‘Tanggungjawab Sosial Korporatnya (CSR) yang dianjurkan bersempena sambutan Hari Malaysia tahun ini. Sumbangan CGC merupakan bantuan pertama berupa bentuk kewangan yang diterima oleh Bengkel Seri Sarawak dari sebuah syarikat swasta sejak penubuhannya pada tahun 1991.
Sumbangan Cek telah disampaikan oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif CGC, Encik Mohd Zamree Mohd Ishak kepada Pengerusi Bengkel Seri Sarawak, Encik Joseph Heng Kheng Chong. Turut hadir dalam memberikan sokongan padu pada majlis tersebut adalah Setiausaha Eksekutif Dewan Perdagangan dan Industri Dayak, Encik Terence Temenggong Jayang serta ahli-ahli dewan bersama-sama dengan warga kerja cawangan CGC di Kuching.
“Kami menganggap ini merupakan tanggungjawab CGC untuk mendekati dan menghulurkan bantuan kepada warga yang kurang bernasib baik. Kami berharap dengan sumbangan yang disalurkan dapat memberi suasana yang lebih selesa kepada warga Bengkel Seri Sarawak,” kata Zamree.
Pusat ini telah ditubuhkan di bawah naungan Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Sarawak juga menerima saluran dana daripada jabatan tersebut pada setiap tahun bagi membantu dan menyelenggarakan aktiviti-aktiviti harian serta keperluan pusat tersebut.
“Kami amat berbesar hati dengan bantuan yang diberikan oleh CGC dalam menyokong pusat ini. Kebanyakan ahli-ahli kami yang telah bersama Bengkel Seri Sarawak sejak penubuhannya adalah merupakan individu-individu kurang upaya, kami telah berjaya membantu lebih 100 individu Orang Kelainan Upaya (OKU) di seluruh Sarawak. Kami berharap lebih banyak syarikat akan tampil dan menghulurkan bantuan seperti CGC,” kata Joseph Heng.
CGC serta tetamu dan para peserta dibawa melawat sekitar pusat tersebut untuk melihat proses pembuatan anggota palsu, kad dan lain-lain produk yang dihasilkan oleh warga Bengkel Seri Sarawak.
Usaha penglibatan CGC bersama masyarakat melalui program CSR telah dijalankan di seluruh negara dalam usaha membantu meringankan beban yang dipikul oleh warga yang kurang bernasib baik. Pada awal tahun ini, CGC telah menghulurkan bantuan dan sokongan sukarelawan kearah usaha-usaha bantuan banjir di negeri Kelantan. Selain itu, CGC juga komited dalam memberi sokongan kepada warga masyarakat yang kurang bernasib baik semasa musim perayaan seperti Tahun Baru Cina, Hari Raya Aidilfitri dan Perayaan Deepavali. Inisiatif CSR terbaru yang telah dijalankan CGC adalah sumbangan bagi menyokong komuniti di daerah Ranau yang terjejas akibat gempa bumi pada Jun 2015.
“Kami berharap untuk terus membantu masyarakat yang kurang bernasib baik di Malaysia melalui program-program CSR kami yang akan datang,” tambah Zamree.
Sebagai sebuah institusi kewangan yang bertujuan untuk menggalakkan pertumbuhan dan pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), CGC berharap untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai pilihan utama dalam menyediakan akses kepada pembiayaan bagi PKS di negara ini. Sejak penubuhan CGC pada tahun 1972, CGC telah membantu lebih dari 430,000 PKS dan telah mengeluarkan jaminan lebih dari RM56 billion.